Keistimewaan

Kampung ini juga memiliki keistimewaannya tersendiri sama seperti kampung-kampung lain. Terdapat banyak tempat yang menjadi tarikan pengunjung yang hadir di kampung ini. Antaranya ialah :

1) Makam Syeikh Muhammad Nor Al-Kholidi
Makam Syekih Mohd Nor

Bangunan ini telah menempatkan makam Syeikh Muhammad Nor Al-Kholidi dan keturunannya. ia terletak bersebelahan dengan Masjid Sungai Chinchin. Ia sentiasa terkunci.Walau bagaimana pun, sesiapa yang ingin memasuki makam ini, boleh meminta izin dari pemegang kunci makam ini.

2)Kubur contoh
Kubur Contoh

Kubur contoh ini terletak di bahagian luar mihrab Masjid Sungai Chinchin, Batu 8,Gombak, Selangor. Syeikh Muhammad Nor Al-Kholidi telah mewujudkan sebuah kubur contoh ini pada sekitar waktu pembinaan Masjid Sungai Chinchin, iaitu pada tahun 1894 sekali gus bermaksud kubur itu sudah berusia lebih 100 tahun.Lubang sedalam kira-kira dua meter yang hanya seluas 2.16 meter persegi itu mungkin tidak pernah digunakan untuk menanam sesiapa namun pengalaman dibiarkan di dalam liang lahad di dalam kubur itu untuk satu tempoh, dikatakan mampu mengetuk kesedaran dalam diri sesiapa saja tentang kematian.

3) Pusat pengajian

Selain itu, banyak pusat pengajian yang terdapat dalam kampung ini. Antaranya ialah Pasti, Tabika Kemas, Tadika Islam An-Nur dan Sekolah Rendah Agama Integrasi(SRAI) Sungai Chinchin. Terbaru pihak masjid telah menyediakan sekolah agama untuk penduduk kampung ini. Nama sekolah ini ialah Sekolah Agama Rakyat(SAR) Sungai Chinchin.Tujuan sekolah ini ditubuhkan untuk memenuhi keperluan penduduk-penduduk kampung ini kerana kebanyakan anak penduduk kampung ini bersekolah di luar kampung. Kampung ini juga berdekatan dengan pusat pengajian lain seperti Universiti Islam Antarabangsa(UIA), British Malaysian Institute(BMI), Sekolah Berasrama Penuh Integrasi(SBPI) Gombak,Sekolah Menengah Teknik Gombak(SMTG),Sekolah Taman Ilmu dan Budi(SETIABUDI), Sekolah Menengah Islam Al-Amin dan International Islamic School.
Pasti Al Hikmah Kg. Sg. Chinchin
Tabika Kemas Kampung Sungai Chinchin


Tadika Islam An-Nur

Sekolah Rendah Agama Integrasi Sungai Chinchin

Sekolah Agama Rakyat(SAR) Sungai Chinchin

4) Kompleks Perkampungan Islam Sheikh Muhammad Nor – Pusat Dakwah dan Tarbiyah
Kompleks Perkampungan An-Nur

Kompleks Perkampungan An-Nur ini merupakan perancangan masa depan penduduk kampung ini.Kompleks ini akan menjadi sebuah perkampungan Islam yang mendukung konsep Hablum min Allah wa Hablum min Al-Nas. Selain daripada membangunkan tempat kediaman, perkampungan ini akan juga menyediakan prasarana yang lengkap dan menzahirkan persekitaran yang kondusif untuk membolehkan orang Islam yang bermastautin di situ mendalami ilmu agama disamping menunaikan tuntutan fardu ain dan fardu kifayah bagi menjadi orang mukmin yang beriman dan bertakwa terhadap kebesaran Allah Subhanahuwataala.

Mengikut perancangan, Kompleks Perkampungan An Nur akan dibahagikan kepada lapan zon:-

(i)  Zon 1 - Kompleks Masjid

Sebuah masjid 2 tingkat akan dibangunkan di tengah-tengah perkampungan yang melambangkan simbol kedaulatan Islam dan paksi penyatuan masyarakat Islam Perkampungan An-Nur.

Tingkat atas ialah tempat berjemaah, manakala tingkat bawah akan menempatkan pejabat untuk pegawai-pegawai masjid, bilik pembelajaran ilmu duniawi dan ukhrawi, bilik komputer, perpustakaan dan pejabat pengurusan Kompleks Perkampungan An-Nur.

(ii) Zon 2 - Kompleks Warga Emas

Kompleks tersebut akan menempatkan golongan warga emas yang dhaif. Menolong golongan tua yang tidak berkemampuan merupakan satu kerja amal ihsan dan tuntutan fardhu kifayah.

(iii) Zon 3 - Hotel Musafir

Sebuah kompleks untuk penginapan sederhana (budget hotel) akan dibangunkan. Kos sewaan dianggarkan antara RM60 – RM100 semalam.

(iv) Zon 4 - Maahad Tahfiz, Dakwah dan Tarbiyah

Sebuah kompleks untuk menampung 1000 orang pelajar mengikuti pengajian tahfiz, dakwah dan tarbiyah Islam akan dibangunkan.

(v) Zon 5 - Apartmen Mampu Milik

Satu blok apartmen akan dibangunkan. Ia dijangka mengandungi unit kediaman bertaraf ‘high ends’ yang akan dijual dan juga disewa untuk golongan yang berkemampuan. Kemudahan apartmen yang baik seumpama ini sudah tentu boleh menarik kakitangan akademik dan profesional di daerah Gombak untuk memilih tinggal di sini.

(vi) Zon 6 - Flat Mampu Milik

Sebuah ‘Flat Mampu Milik’ akan juga dibangunkan. Ia dijangka mengandungi unit kediaman untuk dijual dan disewa kepada golongan yang berpendapatan sederhana dan rendah.

(vii) Zon 7 - Kompleks Makam dan Warisan Sejarah

Kompleks Makam dan Warisan Sejarah akan mengumpul dan menyimpan artifek-artifek, bahan-bahan sejarah seperti gambar-gambar yang menjadi identiti dan corak pembentukan kemasyarakatan Perkampungan Islam Kampung Sungai Cincin yang dipelopori oleh Almarhum Sheikh Muhammad Nur Al-Khalidi.Makam Almarhum Sheikh Muhammad Nur Al-Khalidi akan menjadi satu mercu tanda kenangan silam yang perlu dipelihara untuk dijadikan sejarah warisan Perkampungan An Nur.

(viii) Zon 8 - Kompleks Komersial

Kompleks Komersial akan menyediakan kemudahan perniagaan dan membeli belah untuk penghuni dan juga penduduk di pembangunan berhampiran.

Selain memiliki tempat-tempat yang menarik, Kampung Sungai Chinchin juga memiliki kelebihan yang lain. Kampung yang didiami oleh pelbagai bangsa ini menjadikan kampung ini unik. Faktor lokasi yang berdekatan dengan kampus pengajian menjadikan kampung ini sebagai pilihan utama penduduk menetap di sini. Terdapat pelbagai bangsa yang menetap di kampung ini.Antara bangsa yang menetap di kampung ini ialah Indonesia, Melayu dan lain-lain bangsa seperti Arab dan lain-lain. Walaupun berbeza bangsa, tetapi ia tidak menghalang kami ini hidup dengan aman dan damai.Sesuai dengan firman Allah dalam surah Al-Hujurat ayat 13, sesungguhnya Allah menciptakan manusia berbilang kaum untuk saling mengenali dan yang paling mulia di sisi Allah hanyalah orang yang paling bertaqwa.

49:13
Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...