Khamis, 15 Disember 2011

Paras rupa bukan penentu kewibawaan

Assalamualaikum.

Kisah Julaibib yang hidup pada zaman Nabi Muhammad saw membawa pelbagai pengajaran berguna untuk umat Islam. Pengalaman dan pengorbanannya dalam sama-sama membantu menegakkan agama Allah sentiasa terpahat dalam jiwa umat Islam yang cintakan agamanya.

Diriwayatkan, Julaibib, seorang Ansar yang kurang menarik dan pendek tubuhnya. Keadaan itu menyebabkannya sukar mendapat jodoh. Tambahan pula, keluarganya tidak begitu dikenali.

Rasulullah saw menyedari masalah yang dihadapi oleh Julaibib. Oleh itu, Baginda berusaha menemukan jodohnya.

Pada suatu hari, Baginda berkata kepada seorang sahabat: “Wahai sahabat, aku meminang anak gadismu.”

Orang itu menjawab: “Dengan senang hati, saya menerima pinangan itu wahai Rasulullah.”

Ternyata, orang itu tersalah sangka. Dia menyangka Rasulullah sendiri mahu mengahwini anaknya. Sebab itulah dengan mudah dan tanpa difikirkan lagi dia terus menerima pinangan Rasulullah.

Baginda berkata: “Tetapi pinangan ini bukanlah untukku."

“Jadi, untuk siapa?” soalnya dengan rasa terkejut.

“Untuk Julaibib,” jawab Rasulullah ringkas.

“Kalau begitu, biarlah aku berbincang dengan isteriku terlebih dulu,” ujar orang itu pula, sebelum pulang ke rumahnya dengan tergesa-gesa.

Di sepanjang perjalanan, dia memikirkan mengenai perbualannya dengan Rasulullah kerana pinangan itu sungguh berat untuk diterima. Ia berikutan Julaibib memang dikenali sebagai seorang lelaki yang hodoh dan ramai tidak sanggup bermenantukannya.

Dia juga berat menolak pinangan Rasulullah kerana walaupun sebagai orang tengah, jelas bukan sebarangan orang yang mengemukakan peminangan itu. Sekiranya ditolak, pasti dia dikatakan sebagai seorang memilih dan itu tidak harus dilakukan oleh seorang yang mengaku dirinya Islam dan beriman kepada Allah.

Apabila tiba di rumah, dia terus berkata kepada isterinya: “Rasulullah meminang anak gadismu.”

“Benarkah begitu? Saya sungguh berbesar hati menerimanya,” jawab isterinya dengan gembira.

“Tetapi pinangan ini bukanlah untuk Baginda,” jelas orang itu. Dia sedar, isterinya juga tersalah anggap seperti dirinya sebelum itu.

“Kalau begitu, untuk siapa?” soal isterinya.

“Julaibib,” jawab orang itu.

“Kalau untuk Julaibib, demi Allah! Aku tidak akan menerimanya,” tegas isterinya.

Jawapan tegas daripada isterinya menyebabkan orang itu mahu bertemu semula Rasulullah untuk menyatakan penolakan itu.

Tiba-tiba anaknya muncul lalu bertanya: “Adakah ayah dan ibu akan menolak hajat baik Rasulullah?”

Rupa-rupanya, anak gadis itu mendengar perbualan ayah dan ibunya.

Sebagai seorang yang beriman, dia percaya bahawa apa yang dilakukan oleh Rasulullah itu ada kebaikan.

Katanya:”Beritahulah Baginda, saya menerima peminangan itu. Insya-Allah, Baginda tidak akan melakukan sesuatu yang sia-sia.”

Selepas mendengar keputusan anaknya, orang itu lantas bertemu Rasulullah semula. Katanya kepada Baginda: “Aku menerima pinangan itu.”

Tidak lama selepas itu, Julaibib dan gadis itu dinikahkan.

Baginda mendoakan gadis itu: “Ya Allah, berikanlah keberkatan kepada gadis ini. Dan janganlah Engkau biarkan hidupnya dalam kesusahan.”

Wanita itu reda dengan takdir ditetapkan Allah yang menentukan jodohnya dengan Julaibib.

Pada masa ibu dan bapanya, berasakan anaknya tidak layak menikahi Julaibib, wanita itu dengan ikhlas dan rela hati menikahi lelaki yang dipandang rendah oleh keluarganya.

Namun, usia perkahwinan mereka tidak lama kerana Julaibib gugur sebagai syahid dalam peperangan bersama Rasulullah. Baginda sendiri turut mengebumikannya. Isterinya menjadi seorang janda terhormat.

Diriwayatkan selepas pertempuran itu, Rasulullah memeriksa orang yang gugur dan sahabat memberitahu Baginda nama mereka.

Mereka terlupa kepada Julaibib hingga namanya tidak disebutkan. Hal ini kerana beliau, bukan orang terkenal.

Sebaliknya, Rasulullah ingat Julaibib dan tidak melupakannya. Namanya tetap diingat oleh Baginda. Rasulullah sama sekali tidak lupa kepadanya, lalu bersabda: “Tetapi aku berasakan kehilangan Julaibib!”

Akhirnya, Baginda menemukan jenazahnya dalam keadaan tertutup pasir. Lalu Rasulullah membersihkan pasir daripada wajahnya seraya bersabda sambil menitiskan air mata: “Ternyata engkau membunuh tujuh musuh, kemudian engkau sendiri terbunuh. Engkau termasuk golonganku dan aku termasuk golonganmu. Engkau termasuk golonganku dan aku termasuk golonganmu. Engkau termasuk golonganku dan aku termasuk golonganmu.

Begitulah pengorbanan Julaibib yang besar pada mata Rasulullah. Jelasnya, paras rupa dan kedudukan bukanlah penentu kepada kewibawaan dan keagungan seseorang. Ia hanya faktor luaran yang dipinjamkan sementara oleh Allah kepada manusia.

Insan sejati ialah mereka yang benar-benar ikhlas dan melakukan sesuatu perkara semata-mata kerana Allah dan ingin mendapat keredaan-Nya.

Pengajaran

1) Wanita yang benar-benar shalihah ibarat seseorang yang tahan memegang bara api yang panas.Jika telah sampai suatu perintah syariat pada seorang wanita muslimah maka ia segera taat, terima, dan tunduk (walau itu berat untuk dijalankannya). Dia tidak menyanggah, tidak membangkang, ataupun mencari alasan untuk tidak menerimanya. Wanita ini menerima Julaibib sebagai suaminya dengan seadanya.

2)Usah bimbang dengan rupa paras yang tidak cantik. Utamakanlah pandangan Allah daripada pandangan manusia.Pandangan Allah pada hati manusia , bukan pada rupa paras.

3)Usah bimbang dengan jodoh.Yakinlah bahawa Allah yang mengatur segala kejadian di bumi ini.Maka, mohonlah pada Allah agar mengurniakanmu jodoh yang soleh/solehah.
"Dia adalah bahagian dari diriku dan aku adalah bahagian dari dirinya Julaibib"-Kata Rasulullah, tentang Julaibib-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...