Selasa, 30 Ogos 2011

Hakikat Kemenangan

Apabila berlabuhnya tabir Ramadhan, fajar 1 Syawal pun menjelang.Tanggal 1 Syawal hari kemenangan, hari kesyukuran.Setelah sebulan kita berpuasa,menahan diri daripada lapar dan dahaga, mengekang nafsu syahwat daripada melakukan perkara-perkara yang ditegah semasa berpuasa, kini tibanya masa untuk kita bergembira. Bergembira dalam erti kata lingkungan batas syariat yang dibenarkan dan bukan mengundang kemurkaan Tuhan. Bergembira dengan takbir,tasbih, dan tahmid.Membesarkan Allah dengan melahirkan kesyukuran bukan melakukan kederhakaan melalui hiburan yang mengasyikkan lagi melalaikan.

Sesungguhnya tarbiah yang kita peroleh selama sebulan dalam madrasah Ramadhan menjadikan kita insan yang suci bersih.Kita kembali kepada fitrah ibarat bayi yang tidak berdosa sebagaimana sewaktu kita dilahirkan.Diri dihiasi dengan sifat-sifat mahmudah dan dijauhi daripada sifat-sifat mazmumah.Kita koreksi dalam diri.Kita tanya pada diri adakah tarbiah Ramadhan membuatkan kita kembali pada fitrah.



Syawal tanda permulaan fitrah


Ketika berpuasa di bulan Ramadhan, kita mengajar diri untuk menundukkan nafsu.Malah kita mengambil kesempatan di saat pintu keampuan terbuka luas dengan bersedekah,menjaga ibadah wajib dan memperbanyakkan ibadah-ibadah sunat seperti menunaikan solat tarawih, qiamulail dan sebagainya.Sesiapa yang mendirikan Ramadhan dengan penuh iman dan
pengharapan, pasti dia mendapat pengampunan dari Allah.Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w, "Sesiapa yang mendirikan Ramadhan dengan penuh iman dan pengharapan, akan diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu". Dengan demikian,dia telah kembali kepada fitrah asalnya yang suci dan tidak mempunyai sebarang dosa seperti mana dia baru dilahirkan.


Justeru,ia merupakan peluang terbaik untuk kembali menjadi hamba yang berfitrah semula jadi sebagaimana dicipta yang bererti, kembali kepada kehidupan asal penciptaan manusia bersifat suci,mulia dan baik.Inilah hari yang ditunggu-tunggu sebagai permulaan kepada umat Islam yang ingin berubah ke arah kebaikan dan terus-terusan beristiqamah dengan ibadah dan amalan mulia yang diperjuangkan ketika berada di bukan Ramadhan.Fitrah manusia ini jelas di dalam firman Allah."Ingatlah ketika Tuhanmu mengambil janji dari anak-anak Adam sejak azali mereka dan mempersaksikannya atas diri mereka sendiri.Tidakkah Aku Tuhanmu?Mereka menjawab, betul, kami mempersaksikan atas itu tetapi kamu akan berkata pada hari kiamat,kami telah lalai mengenai hal ini."(Surah Al-Araf:ayat 172).


Sambutan Syawal antara budaya dan tuntutan


Allah telah menganugerahkan satu hari bagi kita dan seluruh umat Islam untuk sama-sama meraikan kejayaan daripada kemenangan itu.Cara menyambut hari raya ini perlulah mengikut adab dan peraturan tertentu yang digariskan oleh syariat.Sejak akhir-akhir ini, ramai dalam kalangan kita yang keliru antara tuntutan syariat ataupun budaya semasa meraikan sambutan hari raya.Sehinggakan sesetengah perkara yang tidak dituntut dalam Islam menjadi suatu perkara yang wajib semata-mata kerana mengikut adat.Sedangkan yang diperintahkan oleh Allah pula tidak begitu dititik beratkan.

Konsep sebenar sambutan hari raya dalam Islam jelas menunjukkan bahawa ia adalah perayaan keagamaan dan bukannya tuntutan budaya yang boleh dicampuradukkan dengan perayaan agama-agama lain yang terdapat di dunia ini.Bermakna jika ia disambut di atas landasan agama yang suci maka hari raya yang diraikan itu adalah satu ibadat dan bukannya adat atau  budaya sesuatu kaum negara.

Antara sambutan yang yang disyariatkan adalah seperti :-
1) Bertakbir
2) Mandi dan berhias diri
3) Bersarapan sebelum solat hari raya di masjid
4) Membayar zakat firah
5) Berjalan kaki ke masjid
6) Pulang dari masjid mengikut laluan yang berbeza
7) Pergi awal ke masjid
8) Bermaaf-maafan
9) Mengucap tahniah
10) Berhibur mengikut batasan syarak

Puasa Enam Syawal jangan dilupakan


Berlalunya Ramadhan yang suci seharusnya tidak dibiarkan sebegitu sahaja. Bagi yang  benar-benar menghayati kehadiran Ramadhan sebagai madrasah, pasti kesannya akan diteruskan walaupun setelah menyambut ketibaan 1 Syawal.Puasa sunat enam hari dalam bulan Syawal adalah antar tuntutannya.Rasulullah s.a.w menganjurkan kepada umat baginda
melalui sebuah hadis yang bermaksud, "Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dan meneruskannya dengan enam hari di bulan Syawal,maka pahalanya seolah-olah berpuasa selama setahun"(Riwayat Muslim).

Yang pasti, anjuran ini punyai hikmah tersendiri.Walaupun ketika meraikan lebaran yang tiba, namun kita masih punya kekuatan untuk menyambut anjuran Rasulullah berkenaan.Anjuran ini dilihat sebagai pelengkap kepada puasa selama sebulan sepanjang Ramadhan.Bahkan menjanjikan pahala puasa selama setahun dan ia juga merupakan penyempurnaan kepada kekurangan. 


Artikel: majalah iluvilsam, bil. 76(19-25 Ogos 2011/19-25 Ramadhan 1432H)

"Ya Allah, terimalah segala amalan-amalan kami di bulan Ramadhan.Amiin."



Ahad, 28 Ogos 2011

[Pengumuman] Al-Fatihah


"Setiap manusia pasti merasai kematian".Almarhum Hj. Abd. Rani Awang yang juga merupakan Pengerusi JKKK Kg. Sg. Chinchin dan Ketua Kampung Sungai Chinchin telah menghembuskan nafas pada 27/8/2011,sekitar pukul 5 dan selamat dikebumikan pada pagi 28/8/2011.

Semoga Allah tempatkan rohnya bersama dengan orang-orang yang soleh.Al-Fatihah.

Sabtu, 27 Ogos 2011

Majlis Khatam Al-Quran dan Sumbangan Derma

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Alhamdulillah dengan izinNya, majilis ini telah berjalan dengan lancar pada 26/8/201. Majlis yang telah dihadiri oleh ahli jawatankuasa Masjid Sungai Chinchin dan ahli kariah ini telah berlangsung selepas solat sunat tarawih. Tidak seperti hari yang lain, solat sunat tarawih kali ini hanya dilakukan sebanyak 8 rakaat.Ini bagi memberi peluang kepada pihak masjid untuk mengadakan majlis ini.

Majlis ini dimulai dengan Majlis Khatam Al-Quran yang diketuai oleh Ustaz Awaluddin bin Khallad dan Imam Sofian bin Hj. Abd Rani.Sebanyak 28 perserta tadarus yang menyertai majlis ini.Majlis ini telah disertai golongan dewasa,remaja dan juga kanak-kanak. Usaha sebegini harus dikekalkan di masa akan hadapan.

Selepas acara Majlis Khatam Al-Quran, sumbangan derma telah dilakukan kepada anak-anak yatim yang berusia bawah 15 tahun.Sebelum sumbangan derma ini dibuat, Biro Agama dan Kebajikan yang juga Nazir masjid telah memberi sedikit taklimat dan nasihat kepada ahli kariah yang hadir di masjid.Beliau menasihatkan ahli kariah supaya mendekatkan diri kepada Allah dan bersama-sama merebut ganjaran Allah.Turut mendapat sumbangan derma ini ialah peserta tadarus, imam, bilal,siak dan AJK yang mengimarahkan masjid sepanjang bulan ramadhan.Setelah sumbangan derma ini selesai dibuat, ahli kariah dijemput untuk menikmati hidangan yang disediakan oleh pihak masjid.

Harapan kami agar majlis begini dapat diteruskan pada masa hadapan supaya Al-Quran tidak dilupakan oleh generasi akan datang.Semoga usaha ini akan diberkati oleh Allah s.w.t.Amiin.

Khamis, 25 Ogos 2011

[Pengumuman ] Majlis Khatam Al-Quran dan Sumbangan Derma

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.


Tarikh: 26 Ogos 2011 bersamaan 26 Ramadhan 1432
Tempat: Masjid Sungai Chinchin
Waktu: Selepas solat isyak dan solat sunat tarawih
Aktiviti: Majlis Khatam Al-Quran dan Sumbangan Derma
Penganjur: Biro Agama dan Kebajikan JKKK Kg Sg Chinchin/Nazir Masjid Sungai Chinchin, Ustaz Man Sort bin Mamat dan Ahli Jawatankuasa Masjid Sungai Chinchin

Semua ahli kariah dijemput hadir untuk memeriahkan majlis.[Bulletin Board]


Rabu, 24 Ogos 2011

Wanita Ibarat Pokok Semalu

Pada suatu hari puteri Rasulullah s.a.w, Fatimah Az-Zahra berjalan dan tiba-tiba kakinya terpijak duri semalu dan kakinya berdarah.Berkata dia kepada Rasulullah s.a.w.Kenapa semalu itu dibiarkan disitu? Maka Rasulullah pun menjawab.Seorang wanita yang solehah adalah ibarat seperti semalu yang mempunyai 4 pengajaran iaitu

1. Jadilah seperti semalu yang mana apabila disentuh ia akan mengucup iaitu ianya menjaga maruah dirinya.


2. Jadilah seperti semalu yang mana ianya memiliki duri untuk melindungi dirinya daripada dicerobohi.

3. Jadilah seperti semalu yang mana akarnya sangat kuat dibumi agar dirimu sentiasa bergantung kepada Allah s.w.t dan sentiasa berpegang teguh pada ajaran agama mu.

4. Jadilah seperti semalu yang mana akan mengucup apabila senja berlabuh iaitu wanita yang solehah akan pulang kerumah sebelum senja melabuhkan tirainya.

p/s indah kan ciptaan Allah.Allah tak menjadikannya dengan sia-sia, pasti mempunyai hikmah di sebalik ciptaaNya.

Gejala ‘Ikhtilath’ merosakkan umat



Pada hari ini gejala ikhtilath (bercampur-gaul) di antara lelaki dengan perempuan berlaku dengan meluas sekali. Seolah-olah seperti tiada siapa yang menyedari perkara tersebut termasuk suatu yang terlarang di sisi agama. Disebabkan hilangnya kesedaran itu jugalah, maka ia menjadi salah satu faktor yang mendedahkan kaum wanita kepada pelbagai bentuk ancaman keselamatan dan maruah.

Allah s.w.t berfirman (maksudnya): “…hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias (tabarruj) dan bertingkah laku seperti orang-orang jahiliyyah terdahulu.” (Surah al-Ahzab, 33:33)


Walaupun ayat ini zahir asalnya untuk isteri-isteri nabi, tetapi sebenarnya ia turut mencakup seluruh kaum wanita beriman secara umum. Kerana wanita beriman itu mengikuti isteri-isteri Nabi dan menyelisihi perilaku kaum wanita jahiliyyah. Hal ini antaranya sebagaimana dijelaskan dalam Tafsir al-Qurthubi dan Tafsir Ibnu Katsir.

Juga firmanNya: “Maka wanita yang soleh adalah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri ketika suaminya tiada dengan apa yang Allah telah pelihara mereka.” (Surah an-Nisaa’, 4: 34)

Nabi s.a.w juga pernah bersabda: “Persoalan anak Adam berkaitan zina telah ditentukan. Tidak mustahil ia pasti melakukannya. Dua mata berzina dengan melihat, dua telinga berzina dengan mendengar, lidah berzina dengan kata-kata, tangan berzina dengan menyentuh, kaki berzina dengan melangkah, hati berzina dengan angan-angan (keinginan), dan kemaluanlah yang akan membenarkan (merealisasikan) atau mendustakan semua itu.” (H.R. Muslim, 13/125, no. 4802)

Hadith ini menunjukkan bahawa perbuatan di antara lelaki dan wanita yang saling memandang, saling berbual tanpa keperluan syar’i, bersentuhan atau bersalaman, serta apa yang disebutkan melalui hadith ini tentang zina adalah terlarang dan perlu dielakkan.

Jika kita teliti betul-betul, nescaya kita akan temui catatan-catatan yang sahih berkaitan wanita-wanita yang terdiri dari kalangan para sahabiyah di zaman Nabi. Yang mana mereka ini sifatnya amat pemalu. Mereka berusaha mengelak dari menjadi tatapan kaum lelaki dengan tetap mendiami rumah-rumah mereka. Jika mereka keluar pun, mereka akan keluar atas alasan yang syar’i dalam keadaan yang terjaga serta ditemani oleh mahram mereka.

Di antara sebab wanita dibenarkan keluar adalah seperti untuk solat berjama’ah, menuntut ilmu agama, dan beberapa yang lainnya yang diperlukan selagi mana berada dalam keadaan aman dari fitnah, mendapat izin dari wali atau suami, dan setelah hak-hak suami dan anak-anak ditunaikan dengan sempurna. Jika mereka keluar, diwajibkan pula untuk mendapat pengawasan atau ditemani oleh mahram, bebas dari ikhtilath, dan berpakaian dengan pakaian yang syar’i (menutup aurat).

Walaupun wanita dibenarkan untuk solat berjama’ah di masjid bersama dengan yang lainnya, Rasulullah s.a.w tetap menegaskan bahawa solat terbaik bagi kaum wanita adalah di rumah mereka masing-masing. Untuk ke masjid pula, Rasulullah s.a.w menyediakan pintu khas untuk para wanita bagi mengelakkan percampuran dengan kaum lelaki. Dalam solat, Islam mengasingkan pula saf wanita di belakang dan lelaki di hadapan.

Nabi s.a.w bersabda: “Sebaik-baik saf lelaki adalah yang paling hadapan dan yang paling buruk adalah yang paling belakang. Dan sebaik-baik saf bagi wanita adalah yang paling belakang, yang terburuk bagi mereka adalah yang paling depan.” (H.R. Muslim, 2/435, no. 664)
Manakala ketika tamat sahaja solat (sebaik salam diucapkan), kaum wanita perlu segera beredar. Manakala kaum lelaki, mereka beranjak setelah para wanita selesai keluar terlebih dahulu.

Ini sebagaimana yang diceritakan oleh Ummu Salamah r.ha (salah seorang isteri Nabi s.a.w). Beliau berkata:

“Bahawasanya pada zaman Rasulullah s.a.w, kaum wanita segera bergerak keluar (beredar) apabila mereka telah mengucapkan salam pada solat fardhu. Sementara itu, Rasulullah s.a.w dan kaum lelaki yang solat bersama-sama beliau tetap berada di tempat mereka bersesuaian dengan apa yang dikehendaki Allah. Apabila Rasulullah s.a.w bangun, maka mereka pun ikut bangun.” (H.R. Bukhari)

Bagi majlis-majlis ilmu pula, Rasulullah s.a.w mengasingkan (memisahkan) di antara lelaki dengan wanita. Abu Sa’id al-Khudri r.hu menceritakan:

Ada seorang wanita datang menemui Rasulullah lalu berkata, “Wahai Rasulullah, kaum lelaki telah pergi dengan membawa hadith-hadith daripada engkau. Maka luangkanlah satu hari untuk kami (kaum wanita) supaya kami dapat menemui engkau pada hari tersebut dan engkau mengajarkan kepada kami apa-apa yang telah diajarkan Allah kepada engkau.”

Rasulullah s.a.w pun menjawab: “Berkumpullah kamu pada hari ini dan ini, di tempat ini dan ini.” Setelah itu, para wanita pun berkumpul di tempat yang dijanjikan tersebut, maka Rasulullah s.a.w menemui mereka dan mengajar mereka perkara-perkara yang telah diajarkan oleh Allah s.w.t kepadanya. (H.R. Bukhari, 22/284, no. 6766)


Namun agak sedih hari ini, fitnah ikhtilath amat berleluasa bukan sahaja di pasar-pasar, di jalan-jalan, di pusat-pusat membeli-belah, di tempat-tempat kerja, atau di majlis-majlis walimah, tetapi juga telah sampai sehingga ke masjid-masjid dan pusat-pusat pengajian umat Islam. ‘Aisyah r.ha (Ummul mukmin) sendiri pernah mengutarakan sesuatu apabila beberapa bentuk fitnah dari kalangan wanita mula berlaku. Beliau mengatakan:

“Sekiranya Rasulullah s.a.w melihat apa yang dilakukan oleh para wanita pada masa sekarang ini, nescaya baginda akan melarang mereka dari pergi ke masjid sebagaimana kaum wanita Bani Israel dilarang ke masjid.” (H.R. Bukhari, 3/378)

Dalam sebuah hadith yang lain, daripada Hamzah B. Abu Usaid al-Anshari rah daripada bapanya, bahawasanya ia pernah mendengar Rasulullah s.a.w berbicara ketika berada di luar masjid sehinggalah berlaku percampuran lelaki dan wanita di tengah jalan. Maka Rasulullah s.a.w pun bersabda kepada kaum wanita:

“Hendaklah kamu melambatkan dalam berjalan (supaya berjalan di belakang), kerana kamu tidak berhak untuk memenuhi tengah-tengah jalan. Dan hendaklah kamu berjalan di tepi jalan, sehingga ada seorang wanita yang serta-merta berjalan merapat ke dinding, hingga bajunya tersangkut pada dinding disebabkan terlalu rapat dengan dinding.” (H.R. Abu Daud,)


Bayangkanlah,wanita dizaman Nabi dan para sahabat pun mereka tetap bersembunyi dan mengelakkan diri dari khalayak kaum lelaki. Yang mana pada masa tersebut kita ketahui orang-orang yang teguh beriman amat ramai serta mendominasi pula masyarakat pada ketika itu.

Berbeza dengan zaman ini, lelaki yang tegar beriman semakin kurang. Yang beriman tetapi lemah pun ramai. Lelaki-lelaki fasiq dan suka mengambil kesempatan pula yang banyak berkeliaran. Yang kafir juga tidak kurang ramainya.

Maka, sepatutnya kaum wanita beriman pada hari ini wajib lebih berhati-hati dan perlu memiliki rasa malu yang tinggi dari menjadi tatapan lelaki-lelaki asing di luar. Apatah lagi khabar-khabar fitnah dan jenayah yang mengaitkan wanita dalam masyarakat hari ini begitu banyak sekali.

Semoga kita semua tidak menjadi fitnah di antara satu sama lain sebagaimana dikhabarkan Rasulullah s.a.w dalam sabdanya:

“Aku tidak meninggalkan fitnah sepeninggalanku yang lebih bahaya bagi lelaki melebihi fitnah wanita.” (H.R. Bukhari dan Muslim –Muttafaq ‘alaih)

Saidina ‘Ali r.hu pernah berkata kepada isterinya, (iaitu) Fathimah r.ha: “Wahai Fathimah, apa yang terbaik untuk seseorang wanita?” Fathimah menjawab: “Hendaklah dia tidak melihat lelaki (yang bukan mahramnya) dan lelaki pun tidak melihatnya.” ‘Ali berkata lagi: “Tidakkah kamu malu? Tidakkah kamu cemburu? Salah seorang di antara kamu membiarkan isterinya pergi ke khalayak kaum lelaki dan dia melihat mereka serta mereka (para lelaki) pun melihat mereka pula.” (adz-Dzahabi, al-Kaba’ir,m/s.171-172)

Jadilah wanita muslim yang beriman. Wanita beriman itu bukan wanita murahan. Kerana wanita beriman itu amat mahal lagi berharga. Yang harganya tidak ternilai sedikit pun dengan helaian wang ringgit. Melainkan dengan apa yang telah dinilai dan ditetapkan oleh Allah s.w.t bagi diri-diri mereka. Mereka menerima, bersyukur, dan redha dengannya. Ganjaran buat mereka adalah Syurga Allah yang luas terbentang.

Rasulullah s.a.w bersabda: “Apabila seorang wanita telah mendirikan solat 5 waktu, berpuasa pada bulan Ramadhan, menjaga kehormatannya (atau kemaluannya), serta mentaati suaminya, maka akan dikatakan kepadanya, “Masuklah engkau ke dalam Syurga dari pintu mana pun yang engkau mahu.” (H.R. Ahmad, 3/199, no. 1661. Ath-Thabrani, al-Mu’jam al-Ausath, 5/34, no. 4598. 8/339, no. 8805. Ibnu Hibban, Shahih Ibnu Hibban, 9/471, no. 4163. Hadith hasan lighairihi)

Artikel oleh Anak Pendang Sekeluarga

p/s pada hari ini, kita dapat lihat manusia bergaul dengan bebasnya tanpa memikirkan soal halal dan haram dalam islam.apa yang mereka lakukan hanya mengikut hawa nafsu semata-mata.jika masalah ini tidak dibendung dengan serius,tidak mustahil masalah gejala sosial akan terus berleluasa.

Ahad, 21 Ogos 2011

Menghidupkan Ramadhan

Aku memuji dan mensyukuri Allah yang mendekatkan kepada kita pintu-pintu kebaikan, yang telah membuka pintu-pintu taubat untuk hamba-hambaNya. Aku mengucapkan tahniah kepada kalian dengan kedatangan bulan yang diberkati, bulan penerimaan taubat, keampunan dan perlepasan dari neraka. Bulan kebaikan dan keberkatan. Bulan kemurahan dan ihsan.

Wahai Pemberi kebaikan-kebaikan berilah kepadaku hidayah.
Maka tidaklah bagi mereka yang tiada hidayah sebarang kebaikan.
Hapuskan salahku dengan kemaafan, kemesraan dan kasih-sayang.
Maka tiadalah keindahan bagi bersalaman dengan selainMU .

Sekiranya tidak diampunkan bagimu, dan tidak bergenang matamu, tidak luluh hatimu di hadapan Tuhanmu pada bulan ini… maka bilakah ia mungkin berlaku?

Pernahkah matamu basah kerana takutkan Tuhanmu walau sekali? Tidakkah kamu merasai Tuhanmu dekat di hatimu pada bulan ini? Tidakkah kamu yakin di sana ada peluang bagimu untuk bertambah dekat dan khusyu’, dan bertaubat dengan tunduk serta menjadi permulaan yang benar dalam kepulangan kepada Allah dengan pertambahan keakraban dengan Allah.
“Dan orang-orang yang meminta diberi petunjuk akan ditambah padanya hidayah dan diberikan kepada mereka taqwa mereka.”

Wahai Insan!

Ingatlah Allah menegur kita dalam firmanNya:
“Wahai manusia apakah yang telah memperdayakanmu dari Tuhanmu yang Maha Pemurah?”

Ya, wahai insan apakah yang telah memperdayakanmu dari Tuhanmu sehingga kamu terjerumus dalam maksiat kepadanya dan melampaui batas-batasNya? Adakah ikamu mengabaikan nikmat-nikmatNya? Ataupun lupa kepada pengawasanNya dan keagunganNya? Jangan dilihat pada kecilnya dosa… tetapi lihatlah keagungan siapa yang telah kau derhaka…. Janganlah menjadikan Allah remeh bagimu.

Untukmu Khabar Gembira

Di sini aku bentangkan bagi kalian berita gembira dari Tuhan Kalian Yang Maha Tinggi dan RasulNya sallahu alaihi wa sallam. Allah berfirman:
“Katakanlah: wahai hamba-hambaKu yang berlebih-lebihan terhadap dirinya (dengan dosa), janganlah kamu berputus harap dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampunkan dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

FirmanNya lagi:
“Dan orang-orang yang tidak menyeru bersama Allah tuhan lain dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah kecuali kerana kebenaran dan tidak berzina barangsiapa yang melakukannya maka mereka telah berdosa. Digandakan baginya seksa itu pada Hari Kiamat dan kekal dalam seksaan itu serta terhina. Kecuali mereka yang bertaubat dan beriman serta melakukan amal soleh, maka Allah akan menggantikan kejahatan mereka dengan kebaikan. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Sungguhlah beruntung mereka dan sangat besar kurnia bagi mereka, Allah menukarkan kebejatan mereka sebagai kebajikan... Allah Maha Besar! Tidaklah akan berlengah-lengah dalam tawaran ini melainkan mereka yang bodoh dan tidak mahukan kemuliaan.

Jika kamu mahukan kelebihan ini bertaubatlah!

Sabda Rasul:
“Allah berfirman: Wahai Anak Adam sesungguhnya jika kalian berdoa kepadaKu dan berharap dariKu Aku telah ampukan bagimu apa yang kamu lakukan(dari dosa) tidaklah aku peduli. Wahai Anak Adam, jika dosamu mencecah langit kemudian kamu memohon ampun dariKu nescaya Aku ampunkan bagiMu dan Aku tidak kisah.”

Sabda Rasul:
“Allah berfirman: Wahai hamba-hambaKU, sesungguhnya Kamu melakukan kesalahan pada waktu malam dan siang dan Aku mengampunkan semua dosa maka pohonlah keampunan dariKu nescaya Aku ampunkan bagimu.”

Sabda Rasul:
“Sesungguhnya Allah membentangkan tangaNya pada waktu malam untuk mengampunkan taubat hamba yang berdosa pada waktu siang, dan membentangkan tangaNya pada waktu siang untuk mengampunkan taubat hamba yang berdosa pada waktu malam sehinggalah matahari terbit dari sebelah barat.”

Ketika Rasul melihat seorang ibu mencari anak kecilnya dan ketika dia menjumpai anaknya lalu dipeluknya anak itu ke dadanya. Maka Baginda bertanya: Apakah ibu ini mendapati anakNya dalam api? Sahabat-sahabat menjawab: Tidak. Baginda bersabda: Allah lebih menyayangi hamba-hambaNya daripada wanita ini menyayangi anaknya.”

Allah Maha Besar… Apakah kemuliaan ini begitu jauh sehingga kita acuh tidak acuh dalam taubat? Apakah kemuliaan ini begitu jauh sehingga kita berlengah dalam taubat? Ya Tuhan kami Maha Suci Engkau yang Maha Mengasihi, Ya Tuhan kami Maha Suci Engkau yang Maha Pengampun, Ya Tuhan kami Maha Suci Engkau yang Maha Pemurah.

Terus Terang Pada Dirimu

Apakah yang menghalangmu dari taubat dan melalui jalan kebaikan? Seolah aku mendengar kau berkata: Keluarga, masyarakat dan kawan kawan! Aku takut aku bertaubat kemudian aku akan kembali lagi melakukan maksiat! Dosaku banyak maka bagaimana akan diampunkan bagiku! Aku gusar akan harta dan keluargaku! Maka aku menjawab: Apakah kalian merasakan itu jawapan kalian di hadapan Allah ketika hari Pertemuan denganNya? Demi Allah tidak... bahkan itulah halangan dan kegusaran yang takkan dimusnahkan melainkan oleh sesiapa yang takut pada Tuhannya.

Maka berbanggalah dengan agamamu dan berazamlah dengan tulus kepada kebaikan dan berterusan di atasnya. Berserahlah diri kepada Allah, kemudian ingatlah rahmat Allah dan keluasan pengampunannya.

Jika dia mendatangimu... pada saat ini... Malaikat Maut apakah kamu redha menjumpai Tuhan kamu dalam keadaan kamu ini?
Maaflah... janganlah kalian lari dari diri kalian dan muhasabahlah ia. Jika kalian tidak bermuhasabah sekarang esok di dalam kubur kalian akan menyesal. Masa itu menyesal sudah tiada guna.

Kelahiran Baru

Ketahuilah sesungguhnya taubat bukanlah hanya dalam Ramadhan. Bahkan dalam Ramadhan dan semua bulan. Tetapi alangkah baiknya kalian dilahirkan semula dalam bulan berkat dan penuh kebaikan, Manusia boleh dilahirkan dua kali; hari dikeluarkan dari kegelapan rahim ibunya kepada dunia yang terang, dan hari yang dikeluarkan dari kegelapan maksiat kepada cahaya ketaatan. Maka jadikanlah itu dirimu.

Aku berpesan kepadamu... berdampinglah dengan orang orang yang baik yang memberi manfaat  kepadamu sehingga selepas kamu mati... dengan izin Allah... dengan doa-doa mereka untukmu... berdampinglah dengan mereka pada pemergian mereka dan kepulangan mereka. Bersabarlah bersama mereka sehingga kamu dipanggil Allah maka ketika itu akan dikatakan kepadamu dan mereka:
Sejahtera ke atas kalian dengan apa yang kalian sabarkan maka alangkah nikmatnya Negeri Akhir itu.”  Ar Ra’d :24

Sebelum Pintu Tertutup

Sekarang dan jangan berlengah.Jalan yang kamu sedang lalui di atasnya menjadi laluan bagimu di dunia dan akhirat. Alangkah bahagianya dan alangkah gembiranya, sedang bergembira hati itu dengannya dan berbahagia ketika kembali kepada Tuhannya dalam keadaan yang bertaubat dan menyertai  perahu orang-orang soleh... demi Allah kebahagiaan ini takkan dirasai melainkan oleh mereka yang telah melaluinya.

Andai kalian sudah berazam ingin bertaubat dan berubah... dan kembali kepada Allah serta tunduk... maka ketahuilah bagi taubat ini sayarat-syarat yang mesti dipenuhi:
  1. Menyesal apa yang telah berlalu.
  2. Menanggalkan segala dosa.
  3. Berazam tidak kembali mengulanginya, sekiranya kalian kembali maka ulangilah. Taubat kepada Allah... tetapi keazaman ini mestilah tulus.
  4. Sebelum nyawa sampai ke kerongkong dan sebelum matahari terbit dari barat.
-------------------------------
Tulisan Muhammad Abduh, diterjemah oleh Aiman Osman.

p/s ramadhan semakin sampai ke penghujung.marilah sama-sama kita perbanyakkan amal soleh dan menghidupkan malam-malam ramadhan.

Isnin, 1 Ogos 2011

Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan

Ramadan akan menjelma lagi, musim ibadah yang menjanjikan rahmat dan keberkatan kepada orang yang berpuasa. Setiap detiknya mengandungi keampunan dan keberkatan. Kedatangannya dinanti oleh orang yang bertaqwa. Rasulullah SAW biasa berdoa bermaksud, ‘Ya Allah berkati kami dalam Rejab dan Sya’aban dan sampaikan kami Ramadhan.’ (Hadis riwayat at-Tabrani dan Ahmad). Apabila sampai Ramadhan para sahabat saling mengucapkan Ahlan wa sahlan ya Ramadhan’ bererti selamat datang Ramadhan!

Berpuasa Ramadhan bertujuan menambahkan Taqwa. Taqwa ialah kekuatan dalaman anugerah Allah untuk manusia berhadapan dengan fitnah hidup ini dengan selamat hingga ke akhirat. Kesannya mendalam hingga ke Ramadhan akan datang.
Rasulullah telah menjanjikan kita dengan sabdanya, “Solat yang lima. Jumaat hingga Jumaat, dan Ramadhan hingga Ramadhan menghapuskan dosa-dosa yang di antaranya apabila (dengan syarat) dijauhi dosa-dosa besar” (Riwayat Muslim).

Hati dibersihkan dari dosa dan nafsu dapat dijinakkan. Asalnya nafsu berguna untuk mengurus diri dan alam keliling. Dengan nafsu manusia sukakan kebersihan, keindahan. makan minum. dan berkeluarga hingga berkembang biak memenuhi bumi. Namun, nafsu mudah menjadi liar hingga membahayakan diri dan alam. Betapa kecantikan terjebak kepada kelucahan. Urusan makan minum menjadi perebutan harta dan takhta. Kesihatan, kekuatan dan kemudaan sering disalahgunakan hingga tergadai usia muda kerana lupa kepada Allah.

Berlapar penting untuk menjinakkan nafsu. Itu adalah peraturan Allah yang Maha Mengetahui. Apabila berpuasa mengikut sunnah Rasul SAW, hati Muslim menjadi lembut dan takut kepada azab Allah. Muslim lebih teliti dalam tindak tanduknya. Selain berlapar, berpuasa ialah menahan diri daripada perkara yang berdosa, tidak bermoral dan sia-sia. Berpuasa pada perut ialah tidak makan, berpuasa pada Iidah ialah tidak bercakap sia-sia atau mengumpat. Berpuasa telinga ialah tidak mendengar muzik rock dan perbuatan lucah. Berpuasa mata ialah tidak memandang yang berdosa seperti aurat, atau memandang seseorang dengan marah.

Nabi bersabda, “Bukanlah puasa itu semata-mata meninggalkan makan dan minum tetapi puasa ialah meninggalkan perbuatan sia-sia dan cakap kosong. Jika sesiapa dimaki atau diperbodoh oleh seseorang katakanlah;’Saya berpuasa, saya berpuasa”(Riwayat lbnu Khuzaimah dan lbnu Hibban).

Menurut hadith ini, orang yang berpuasa perlu kuat bersabar apabila dalam situasi genting atau bertelingkah. Disebutnya, ‘Saya berpuasa’ beberapa kali untuk mengingatkan diri agar tidak merosakkan pahala puasa. Puasa begitu penting dijadikan latihan mengubah sikap hingga Rasulullah mengingatkan kita, “Sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dan amalan sia-sia maka Allah tidak memerlukannya meninggalkan makan dan minumnya.” (Riwayat Bukhari).

Puasa Ramadhan menjanjikan perubahan bagi mereka yang mengisi masa dengan kebaikan dan ibadah. Kesemua amalan dibuat dengan penuh ilmu dan faham. Membaca al-Qur’an ialah membaca perintah dan hukum Allah. Tarawih ialah merehatkan hati dengan mendengar bacaan qari mengimami solat tarawih itu. Bertaubat ialah menyesali dosa dan ingin berubah menjadi taat. Beribadah pada Lailatul Qadar membawa keampunan dan kebajikan yang kekal seumpama seribu bulan. Beriktikaf ialah mengasingkan diri di dalam masjid dengan mengimbau kesalahan Iampau untuk membaiki diri dan umat. Zakat fitrah ialah tanda kesyukuran atas nikmat Allah yang melimpah, hingga ingin dikongsi kepada orang yang memerlukan.

Pada akhir Ramadhan, orang yang berpuasa mengikut adabnya akan menjadi orang baru kerana berjaya membuang segala kelemahan diri. Ramadhan di akhiri dengan kesedihan kerana berpisah dengan limpahan rahmat dan keampunan Allah. Alangkah gembiranya jika Ramadhan itu sepanjang tahun. Dari Abi Mas’ud Al-Ghifari r.a, katanya,’Rasulullah SAW bersabda;’Jikalau para hamba itu mengetahui apa dia Ramadhan,nescaya umatku berangan agar setahun itu kesemuanya Ramadhan.’ (Riwayat Ibnu Khuzaimah).

p/s Selamat menyambut ramadhan al mubarak.Semoga ramadhan kali ini adalah terbaik untuk kita.:)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...