Selasa, 30 Ogos 2011

Hakikat Kemenangan

Apabila berlabuhnya tabir Ramadhan, fajar 1 Syawal pun menjelang.Tanggal 1 Syawal hari kemenangan, hari kesyukuran.Setelah sebulan kita berpuasa,menahan diri daripada lapar dan dahaga, mengekang nafsu syahwat daripada melakukan perkara-perkara yang ditegah semasa berpuasa, kini tibanya masa untuk kita bergembira. Bergembira dalam erti kata lingkungan batas syariat yang dibenarkan dan bukan mengundang kemurkaan Tuhan. Bergembira dengan takbir,tasbih, dan tahmid.Membesarkan Allah dengan melahirkan kesyukuran bukan melakukan kederhakaan melalui hiburan yang mengasyikkan lagi melalaikan.

Sesungguhnya tarbiah yang kita peroleh selama sebulan dalam madrasah Ramadhan menjadikan kita insan yang suci bersih.Kita kembali kepada fitrah ibarat bayi yang tidak berdosa sebagaimana sewaktu kita dilahirkan.Diri dihiasi dengan sifat-sifat mahmudah dan dijauhi daripada sifat-sifat mazmumah.Kita koreksi dalam diri.Kita tanya pada diri adakah tarbiah Ramadhan membuatkan kita kembali pada fitrah.



Syawal tanda permulaan fitrah


Ketika berpuasa di bulan Ramadhan, kita mengajar diri untuk menundukkan nafsu.Malah kita mengambil kesempatan di saat pintu keampuan terbuka luas dengan bersedekah,menjaga ibadah wajib dan memperbanyakkan ibadah-ibadah sunat seperti menunaikan solat tarawih, qiamulail dan sebagainya.Sesiapa yang mendirikan Ramadhan dengan penuh iman dan
pengharapan, pasti dia mendapat pengampunan dari Allah.Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w, "Sesiapa yang mendirikan Ramadhan dengan penuh iman dan pengharapan, akan diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu". Dengan demikian,dia telah kembali kepada fitrah asalnya yang suci dan tidak mempunyai sebarang dosa seperti mana dia baru dilahirkan.


Justeru,ia merupakan peluang terbaik untuk kembali menjadi hamba yang berfitrah semula jadi sebagaimana dicipta yang bererti, kembali kepada kehidupan asal penciptaan manusia bersifat suci,mulia dan baik.Inilah hari yang ditunggu-tunggu sebagai permulaan kepada umat Islam yang ingin berubah ke arah kebaikan dan terus-terusan beristiqamah dengan ibadah dan amalan mulia yang diperjuangkan ketika berada di bukan Ramadhan.Fitrah manusia ini jelas di dalam firman Allah."Ingatlah ketika Tuhanmu mengambil janji dari anak-anak Adam sejak azali mereka dan mempersaksikannya atas diri mereka sendiri.Tidakkah Aku Tuhanmu?Mereka menjawab, betul, kami mempersaksikan atas itu tetapi kamu akan berkata pada hari kiamat,kami telah lalai mengenai hal ini."(Surah Al-Araf:ayat 172).


Sambutan Syawal antara budaya dan tuntutan


Allah telah menganugerahkan satu hari bagi kita dan seluruh umat Islam untuk sama-sama meraikan kejayaan daripada kemenangan itu.Cara menyambut hari raya ini perlulah mengikut adab dan peraturan tertentu yang digariskan oleh syariat.Sejak akhir-akhir ini, ramai dalam kalangan kita yang keliru antara tuntutan syariat ataupun budaya semasa meraikan sambutan hari raya.Sehinggakan sesetengah perkara yang tidak dituntut dalam Islam menjadi suatu perkara yang wajib semata-mata kerana mengikut adat.Sedangkan yang diperintahkan oleh Allah pula tidak begitu dititik beratkan.

Konsep sebenar sambutan hari raya dalam Islam jelas menunjukkan bahawa ia adalah perayaan keagamaan dan bukannya tuntutan budaya yang boleh dicampuradukkan dengan perayaan agama-agama lain yang terdapat di dunia ini.Bermakna jika ia disambut di atas landasan agama yang suci maka hari raya yang diraikan itu adalah satu ibadat dan bukannya adat atau  budaya sesuatu kaum negara.

Antara sambutan yang yang disyariatkan adalah seperti :-
1) Bertakbir
2) Mandi dan berhias diri
3) Bersarapan sebelum solat hari raya di masjid
4) Membayar zakat firah
5) Berjalan kaki ke masjid
6) Pulang dari masjid mengikut laluan yang berbeza
7) Pergi awal ke masjid
8) Bermaaf-maafan
9) Mengucap tahniah
10) Berhibur mengikut batasan syarak

Puasa Enam Syawal jangan dilupakan


Berlalunya Ramadhan yang suci seharusnya tidak dibiarkan sebegitu sahaja. Bagi yang  benar-benar menghayati kehadiran Ramadhan sebagai madrasah, pasti kesannya akan diteruskan walaupun setelah menyambut ketibaan 1 Syawal.Puasa sunat enam hari dalam bulan Syawal adalah antar tuntutannya.Rasulullah s.a.w menganjurkan kepada umat baginda
melalui sebuah hadis yang bermaksud, "Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dan meneruskannya dengan enam hari di bulan Syawal,maka pahalanya seolah-olah berpuasa selama setahun"(Riwayat Muslim).

Yang pasti, anjuran ini punyai hikmah tersendiri.Walaupun ketika meraikan lebaran yang tiba, namun kita masih punya kekuatan untuk menyambut anjuran Rasulullah berkenaan.Anjuran ini dilihat sebagai pelengkap kepada puasa selama sebulan sepanjang Ramadhan.Bahkan menjanjikan pahala puasa selama setahun dan ia juga merupakan penyempurnaan kepada kekurangan. 


Artikel: majalah iluvilsam, bil. 76(19-25 Ogos 2011/19-25 Ramadhan 1432H)

"Ya Allah, terimalah segala amalan-amalan kami di bulan Ramadhan.Amiin."



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...